Subscribe:

Hakikat Tasawwuf

Akhir zaman kini ramai orang mahu mencari suatu amalan untuk membersihkan dirinya dan amalan yang lebih cepat untuk mendekatkan dirinya kepada Tuhannya. Begitu juga ramai orang yang berlumba-lumba untuk melakukan ibadat tak kira ibadat tersebut benar-benar diambil daripada sumber islam yang tulen ataupun tidak.

Oleh sebab itulah kita lihat ramai yang suka beribadat dengan banyaknya akan tetapi jahil ilmu agama. Ada juga yang akhlaknya sangat baik tetapi pegangan agamanya sangatlah karut. Mereka mempercayai wali-wali boleh membantu mereka disamping Allah.
Doa mereka berbunyi: "Wahai Imam Syafi'i tolonglah kami".. sedangkan jelas pertolongan (isti'anah/ istighatsah) hanyalah kepada yang Maha Satu. Bukan kepada Imam Syafi'i tidak juga Nabi s.a.w. kerana ianya bercanggah dengan nas-nas yang akan saya paparkan selepas ini. Saya ingin mengajak para pembaca agar melihat sejenak serta berfikir suatu golongan yang tidak asing lagi yang dinamakan "Sufi" atau lebih popular dengan nama "tasawwuf". Nama yang sangat tidak asing ini telah mendapat tempat di seantero dunia dari timur ke barat dari utara ke selatan. Akan tetapi benarkah golongan ini benar-benar isi ajarannya selari dengan tuntutan agama islam yang sebenar? Ataukah ia sebenarnya cuma ibarat bunga plastik yang hanya cantik luaran tetapi tidak dapat memberi manfaat melainkan hanya indah di mata, itupun mata yang yang telah didorongi dengan hawa nafsunya yang sebenarnya tidak dapat dibandingkan dengan bunga-bunga yang benarbenar hidup di bawah kekuasaan Allah Yang Maha Mencipta sekalian makhluknya. Menurut kajian para agamawan dan ulama-ulama islam, perkataan sufi bukanlah berasal dari bahasa arab. Ada yang mengatakan ia berasal dari kata suf (baju dari kulit domba) yang menjadi pakaian bagi golongan zuhud di zaman Nabi, ada juga yang berpendapat ianya berasal dari kata sufiya yang merupakan bahasa yunani yang bermaksud hikmah. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari kata As-Safaa' yang bermaksud suci dan jernih. Akan tetapi pendapat ini telah disanggal kerana jika ditambah dengan ya' nisbah ia akan menjadi safaa'ie bukannya sufi. Selalunya sufi ini dikaitkan dengan tarikat yang bermaksud jalan. Ada juga yang berpendapat sufi ini hanya kaitannya dengan zuhud, tawadhu' dan warak dan tidak ada kaitannya dengan tarikat-tarikat tertentu. Akan tetapi yang menjadi mejoritinya hari ini bila disebut sufi atau tasawwuf ia mesti dikaitkan dengan tarikat. Tarikat ini telah diterima umum oleh banyak ilmuan-ilmuan islam yang kebanyakan mereka ini dipelopori oleh pengikut asya'irah maturidiyah. Antara tarikat-tarikat yang popular seperti Tijaniyah, Naqsyabandiyah, Syaziliyah, Qadiriyah, Ahmadiah, dan sebagainya. Nama sufi ini sebenarnya telah memecah-belahkan kaum muslimin disebabkan oleh kaum sufi itu sendiri. Apa tidaknya, masing-masing daripada kelompok sufi yang menamakan kelompok mereka dengan tarikat-tarikat tertentu mengakui merekalah yang paling benar. Malah menuduh sesama mereka sebagai tidak betul. Malah jika diperhati setiap peribadatan kaum sufi ini, ternyata amat berbeza antara satu tarikat dengan tarikat yang lain. Malah setiap tarikat-tarikat pasti tidak akan terlepas daripada rekaan-rekaan bentuk peribadatannya. Sedangkan islam menganjurkan untuk bersatu-padu dan jangan berpecah-belah serta beribadat sebagaimana yang telah disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta'ala: Dan berpegang-teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai. (Surah Ali Imran : 103) Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta Dirikanlah shalat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, Yaitu orang-orang yang memecah-belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. (Surah Ar-Rum : 31-32) Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. (Surah An-Nisaa' : 59) Siapa yang mengamalkan suatu amalan yang tiada daripada ajaran kami, maka ia ditolok (tidak diterima). (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Mengapa perlu berkelompok-kelompok? Tidak cukupkah ajaran islam yang dibawa oleh Rasulullah? Tidak cukupkah Al-Quran dan As-Sunnah menurut fahaman sahabat (salafus soleh) sebagai petunjuk dan pembimbing hidup? Inilah yang kurangnya pada kelompok sufi sebenarnya. Mereka mengamalkan zikir-zikir yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadis yang sahih. Mereka mengamalkan tawassul (perantaraan/ Wasilah) yang melampaui batas syariat. Dan mereka juga sering guluw (melampau) dalam segala perbuatan yang direkayasa oleh mereka. Seperti yang saya sebut pada awal tulisan ini, mereka ini suka berdoa dengan cara yang salah kerana mereka beristighatsah dan beriti'anah selain Allah seperti: "Wahai Jailani, Wahai Rifa'I, Wahai Rasulullah tolonglah kami!" atau terkadang juga mereka berdoa "Wahai Rasulullah hanya kepadamu kami bersandar!"
Padahal jelas daripada Al- Quran menyatakan tidak boleh berdoa meminta pertolongan melainkan hanya pada Allah semata. Hanya pada-Mu kami menyembah dan hanya pada-Mu kami meminta pertolongan. (Surah Al-Fatihah : 5) Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak dapat memberi mudharat kepadamu selain Allah; kerana jika kamu berbuat demikian itu, sesungguhnya kalau begitu kamu termasuk golongan orang-orang yang zalim. (Surah Yunus : 106) Maksud zalim dalam ayat di atas adalah syirik (mempersekutukan Allah) sebagaimana Firman Allah dalam surah Luqman ayat 13 yang berbunyi: Janganlah kamu mempersekutukan Allah, Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar. Satu lagi cara ibadat yang telah disepakati oleh kaum-kaum sufi adalah berzikir secara kuat serta berjemaah. Sebagaimana pada hari ini, bukan sahaja para sufi yang berzikir secara kuat, malah ramai yang telah tertipu dengan cara ini yang disangka ianya sunnah padahal ia bertentangan dengan sunnah Nabi yang jelas tertera di dalam Al-Quran maupun Hadis Nabawiyah. Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut, dan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (Surah al-A’raaf :205) Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang melampaui batas. (Surah al-A’raaf : 55) Suatu hadis yang tidak asing lagi dalam menolak hujah mereka yang mengatakan zikir berjemaah adalah sunnah adalah hadis yang diriwayatkan oleh ad-Darimi dalam musnadnya menunjukkan bahawa zikir secara berjemaah adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w. dan sunnah sahabat r.a. Daripada ‘Amr bin Salamah (seorang tabi’i) katanya: “Satu ketika kami duduk di pintu ‘Abd Allah bin Mas‘ud sebelum solat subuh. Apabila dia keluar, kami akan berjalan bersamanya ke masjid. Tiba-tiba datang kepada kami Abu Musa al-Asy‘ari, lalu bertanya: “Apakah Abu ‘Abd al-Rahman (gelaran kepada ‘Abd Allah bin Mas’ud) telah keluar kepada kamu?” Kami jawab: “Tidak!”. Maka dia duduk bersama kami sehingga ‘Abd Allah bin Mas‘ud keluar. Apabila dia keluar, kami semua bangun kepadanya. Lalu Abu Musa al-Asy‘ari berkata kepadanya: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman, aku telah melihat di masjid tadi satu perkara yang aku tidak bersetuju, tetapi aku tidak lihat – alhamdulilah – melainkan ianya baik”. Dia bertanya: “Apakah ia?”. Kata Abu Musa: “Jika umur kamu panjang engkau akan melihatnya. Aku melihat satu puak, mereka duduk dalam lingkungan (halaqah) menunggu solat. Bagi setiap lingkungan (halaqah) ada seorang lelaki (ketua kumpulan), sementara di tangan mereka yang lain ada anak-anak batu. Apabila lelaki itu berkata : Takbir seratus kali, mereka pun bertakbir seratus kali. Apabila dia berkata: Tahlil seratus kali, mereka pun bertahlil seratus kali. Apabila dia berkata: Tasbih seratus kali, mereka pun bertasbih seratus kali.” Tanya ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Apa yang telah kau katakan kepada mereka?”. Jawabnya: “Aku tidak kata kepada mereka apa-apa kerana menanti pandangan dan perintahmu”. Berkata ‘Abd Allah bin Mas‘ud: “Mengapa engkau tidak menyuruh mereka mengira dosa mereka dan engkau jaminkan bahawa pahala mereka tidak akan hilang sedikit pun”. Lalu dia berjalan, kami pun berjalan bersamanya. Sehinggalah dia tiba kepada salah satu daripada lingkungan berkenaan. Dia berdiri lantas berkata: “Apa yang aku lihat kamu sedang lakukan ini?” Jawab mereka: “Wahai Abu ‘Abd al-Rahman! Batu yang dengannya kami menghitung takbir, tahlil dan tasbih”. Jawabnya: “Hitunglah dosa-dosa kamu, aku jamin pahala-pahala kamu tidak hilang sedikit pun. Celaka kamu wahai umat Muhammad! Alangkah cepat kemusnahan kamu. Para sahabat Nabi masih lagi ramai, baju baginda belum lagi buruk dan bekas makanan dan minuman baginda pun belum lagi pecah. Demi yang jiwaku berada di tangan-Nya, apakah kamu berada di atas agama yang lebih mendapat petunjuk daripada agama Muhammad, atau sebenarnya kamu semua pembuka pintu kesesatan?” Jawab mereka : “Demi Allah wahai Abu ‘Abd al-Rahman, kami hanya bertujuan baik.” Jawabnya : “Betapa ramai yang bertujuan baik, tetapi tidak menepatinya.” Sesungguhnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah menceritakan kepada kami satu kaum yang membaca al-Quran namun tidak lebih dari kerongkong mereka (ini merupakan salah satu sifat khawarij seperti diterangkan dalam hadis-hadis). Demi Allah aku tidak tahu, barangkali kebanyakan mereka dari kalangan kamu.” Kemudian beliau pergi. Berkata ‘Amr bin Salamah: “Kami melihat kebanyakan puak tersebut bersama Khawarij memerangi kami pada hari Nahrawan.” (Hadis riwayat ad-Darimi di dalam Musnadnya dengan sanad yang dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadis as-Sahihah jilid 5, ms 11) Bukan setakat itu penyelewengan kaum sufi, malah banyak lagi penyelewengan mereka sehinggakan ada yang sampai ketahap pemujaan para wali dan keramat serta menyembah kubur wali dan meminta tolong darinya, dan ada yang menerima konsep wahdatul wujud (bersatunya makluk dengan Tuhannya) yang dipelopori oleh Ibn 'Arabi sebagaimana termaktub fahamannya ini dalam kitab Futuhat Al-Makiyyah. Sehingga Ibn 'Arabi pernah berkata: "Sesungguhnya seorang lelaki yang meniduri isterinya, sebenarnya sedang meniduri Allah Al-Haq." Sungguh kufur perkataan ini wal 'iyazubillah. Jika sesiapa yang pernah ke Mesir boleh melihat sendiri kebatilan cara para sufi ini berzikir secara kuat (jahar) sambil menari dan bertepuk-tepuk tangan serta meraung-raung nama Allah sehinggalah mereka hanya menyebut seringkas-ringkasnya sebutan Al-Haq seperti: "Hu-Hu, Hu-Hu, atau Ah-Ah-Ah seperti orang yang mabuk kerana meminum arak. Kononnya inilah zikir tahap yang tertinggi sekali. Sedangkan sabda Rasulullah: "Sebaik-baik zikir adalah kalimah Laa Ilaaha Illallah." (Hadis riwayat Tirmizi) Firman Allah Ta'ala dalam surah Al-Anfal ayat 35 berbunyi: Sembahyang mereka (orang-orang musyrikin) di sekitar Baitullah itu, lain tidak hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu. Dengan sedikit infomasi tentang sufi ini, semoga para pembaca lebih terbuka minda untuk mencari kebenaran. Jangan hanya melihat luaran tanpa mengkaji dalamannya. Seperti juga ramai pengikut tarikat yang mempunyai akhlak yang baik akan tetapi aqidahnya sangatlah batil. Ibadatnya sangatlah banyak rekaan-rekaan yang tidak dijumpai daripada sunnah nabi serta amalan salafus soleh. Sebab itu Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada sahabatnya yang umat islam akan berpecah kepada 73 puak semuanya menuju ke neraka kecuali satu. Apabila sahabat bertanya siapakah yang satu tersebut maka Rasulullah menjawap: "Al-Jamaah". Dalam riwayat lain Nabi s.a.w. bersabda: “Dan akan terpecah umatku manjadi 73 aliran (puak), semua mereka masuk neraka kecuali satu aliran. Para sahabat bertanya: Siapakah aliran itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Mereka yang mengikuti jalan hidupku dan jalan para sahabatku." (Hadis Riwayat Tirmizi, Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad dan lainlain; disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih wa Dha’if Sunan Tirmidzi, no: 2641) Hanya satu jalan (tarikat) yang selamat iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ibn Mas'ud r.a. berkata: "suatu hari rasulullah s.a.w. membuat satu garisan lurus dengan tangannya lalu bersabda: "Inilah jalan Allah yang lurus, kemudian baginda menggariskan beberapa garis disebelah kiri dan kanan garis yang lurus itu, sambil bersabda: "Inilah jalanjalan (kesesatan). Tidak ada satu jalan pun dari jalan ini melainkan ada syaitan yang mengajak manusia untuk mengikuti jalan tersebut.
Kemudian baginda membacakan surah Al-An'am ayat 153 : "Dan bahawa yang (kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kamu mengikuti jalanjalan (yang lain)".
(Hadis riwayat Ahmad; berkata Al-Arnauth: Hadis hasan, rujuk Musnad Ahmad takhrij al-Arnauth, no: 4437)
Malaysia Cheap Web Hosting